Aku online

Thursday, May 28, 2009

Persistensi

Persistensi (persistency) adalah suatu sikap tidak mudah mengalah terhadap sebarang halangan, dugaan, cabaran dan masalah dalam merealisasikan sesuatu matlamat. Kejayaan sememangnya bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai. Kalau ia sesuatu yang mudah maka pastilah tiada manusia gagal. Sedangkan kajian menunjukkan 95% daripada manusia, selepas usia 55 tahun hanya hidup bergantung kepada duit pencen. Itu bagi yang bekerja kerajaan. Jauh sekali mereka ketika itu mencapai tahap yang boleh dikatakan "financially independent". Begitu juga dengan pelajar, kajian menunjukkan setiap tahun hanya 13% - 14% pelajar yang mampu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Bagi yang kini berada di institusi pengajian tinggi pula, 80% daripada mereka menamatkan pengajian setakat ijazah kelas kedua atau ketiga. Fenomena di atas jelas menunjukkan ramai manusia gagal mencapai yang terbaik kerana cepat berpuashati dengan pencapaian mereka. Ada sesetengahnya cuba melakukan lebih jauh tetapi akhirnya merasa kecewa hanya setelah beberapa kali sahaja mencuba. Saya teringat baris kata-kata yang pernah saya terbaca dahulu, "When the going gets tough, the tough get going", dan satu lagi, "Quitters never win and winners never quit". Kata-kata ini telah sekian lama saya sematkan dalam hati saya dan dijadikan azimat bagi meraih kekuatan setiap kali berhadapan dengan cabaran atau ketika berada diambang kegagalan.
Dengan sikap persistensi yang tinggi sesiapa sahaja boleh berjaya. Hanya faktor masa sahaja menjadi penentu kejayaan itu. Cuba kita lihat bagaimana persistennya Nabi Muhammad s.a.w dalam mengembangkan agama Allah dizaman jahiliyah dahulu hingga terbentuknya sebuah negara Islam yang digeruni lawan dan dihormati. Tidak seperti rasul-rasul sebelumnya, Nabi Muhammad s.a.w mengembangkan Islam tanpa bergantung kepada mukjizat yang mencarik adat selain daripada Al-Quran. Baginda memulakan syiarnya ketika berusia 40 tahun setelah menerima wahyu pertama. Hanya kerana mahu membawa masyarakatnya beriman kepada Allah, baginda telah diejek, dicemuh, dilontar dengan batu. Pengikut-pengikutnya diseksa. Keluarga mereka didera dan dihina. Semuanya ini sedikitpun tidak menjejaskan kemahuan baginda untuk melihat Islam tegak dibumi Allah ini. 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah adalah satu masa yang bukan pendek. Sikap persistensi sebeginilah yang perlu ada sekiranya seseorang itu mahukan kejayaan. Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabatnya membuktikan bahawa kebolehan seorang manusia cukup luar biasa dan mampu menggoncang dunia selagi tidak lari dari matlamat perjuangan, rela berkorban dan sanggup melakukan apa sahaja untuk berjaya. Kenapa mesti berjuang 23 tahun sedangkan Allah boleh sahaja memberikan kemenangan mudah kepada rasulnya? Sebabnya untuk manusia selepas itu menjadikan kehidupan dan perjuangan itu suatu tauladan. Salah satu darinya ialah sikap gigih dan tidak putus asa dari mengharap kemenangan dari Allah.
Seorang jurujual berjaya cukup faham dengan teori persistensi ini. Fikiran mereka telah diprogramkan bahawa untuk melakukan satu jualan yang berjaya mereka perlu menemui 10 orang pelanggan berpotensi. Dengan fahaman matematik yang cukup mudah ini mereka berusaha tanpa kenal erti jemu. Setelah satu kegagalan mereka merasa lebih gembira kerana mereka cuma tinggal 9 orang lagi sebelum mendapat kejayaan. Mereka terus berusaha dan kejayaan jualan pertama itu mungkin terletak pada cubaan yang ke-5, ke-7 atau ke-10. Meski pun mereka gagal membuat jualan dalam 10 cubaaan pertama, mereka tetap tidak putus asa. Sebab kemungkinan pula dalam cubaan ke-11 atau ke-12 kejayaan mula menjelma.
Sejarah memang membuktikan bahawa hampir semua nama-nama besar dan terkenal adalah mereka yang mencipta sejarah setelah mencuba ribuan kali. Edison mencipta lampu setelah berusaha lebih 10,000 kali. Kolonel Sanders cipta kejayaan dengan resepi ayam gorengnya setelah mencuba 1009 kali. Nelson Mandela menjadi presiden Afrika Selatan setelah dipenjarakan hampir sesuku abad. Goodyear mencuba hampir 10 tahun sebelum menemui kaedah untuk mengkomersilkan getah. Boon Siew, walau pun tidak tahu membaca dan menulis mampu menjadi jutawan dan memberikan peluang pekerjaan kepada ribuan pekerja hanya kerana persistensinya.
Kalau telah jelas, dari kisah-kisah di atas, bahawa persistensi adalah senjata utama menuju kemenangan maka kenapa pula anda perlu cepat putus asa? Dalam kehidupan ini kegagalan adalah pengalaman bagi mereka yang persisten tetapi sebaliknya adalah kematian bagi mereka yang putus asa. Kalau anda seorang pelajar, kini soal lah diri anda sendiri, adakah anda telah mencuba ribuan kali untuk menyelesaikan satu soalan matematik atau sains yang mencabar? Ratusan kali? Puluhan kali? Jawapannya pastinya tidakk... anda cuma mencuba beberapa kali dan akhirnya putus asa. Kalau inilah cara anda bagaimana mampu anda letakkan nama anda sebaris dengan mereka yang telah berjaya? Bagaimana pula jika anda seorang dewasa? Pekerja ? Ibu/Bapa ? sudah pasti cabaran yang dihadapan anda amat mengerunkan bukan? Air yang menitik secara berterusan itu mampu menghakis batu. Parang yang diasah secara berterusan itu akan tajam. Begitulah juga dengan diri manusia.
Oleh itu jangan putus asa dalam usaha. Anda tidak boleh gagal walau atas alasan apa sekalipun. Jadikan setiap kegagalan itu satu pengajaran untuk memperbaiki diri, untuk mengubah perancangan, untuk lebih fleksibel dan lambat laun kejayaan itu milik anda kerana kuasa persistensi yang ada dalam diri.
Sekian.

50,000 Sijil Halal Palsu


KUALA LUMPUR : Berhati-hati apabila menjamu selera di restoran milik pengusaha bukan Islam berikutan siasatan pihak berkuasa mendapati ada antara sijil halal yang tertera pada premis perniagaan berkenaan palsu dan dibeli daripada pihak tertentu pada harga mencecah RM5,000 sekeping semata-mata untuk menarik kedatangan orang Islam menjamu selera di premis mereka.Difahamkan, penyebaran sijil akuan halal itu mendapat permintaan tinggi di kalangan pengusaha restoran milik bukan Islam bermasalah berikutan pemilik tidak perlu mematuhi syarat dan prosedur pensijilan halal yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini.
Berdasarkan siasatan, sijil akuan halal yang tidak diiktiraf Jakim itu kini dimiliki hampir 50,000 premis makanan terutama pengusaha restoran bukan Islam di seluruh negara.Jurucakap Halal Industry Development Corporation (HDC) berkata, pemantauan dan siasatan dilakukan di beberapa premis makanan mendapati sijil halal tidak sah berkenaan diedarkan individu tertentu yang menjualnya untuk mendapatkan keuntungan lumayan.

Menurutnya, sijil halal tidak sah laku itu jauh berbeza dengan sijil halal Jakim yang kini dikeluarkan HDC berikutan ia tidak dipantau atau dikawal selia mengikut garis panduan sepatutnya.

“Pihak yang mengedarkan sijil berkenaan hanya memikirkan keuntungan apabila menjual sijil halal itu tanpa memikirkan sama ada pemilik restoran mematuhi syarat piawaian pensijilan yang harus dipatuhi.“Sebagai contoh, premis makanan yang memiliki sijil halal seharusnya mendapatkan bekalan bahan mentah seperti ayam dan daging daripada syarikat pembekal yang turut memperoleh sijil halal sah dari rumah sembelihan diiktiraf Jakim atau HDC.
Selain itu, pihak premis makanan perlu memastikan tiada bahan masakan yang diragui digunakan selain memastikan aspek kebersihan dijaga,” katanya.Malangnya, pihak yang mengeluarkan sijil halal sama seperti sijil Jakim atau HDC ini lepas tangan dan tidak pernah melakukan pemantauan berkala.“Akibatnya ada restoran atau premis makanan ini yang memiliki sijil halal palsu menggunakan bahan masakan diragui halal serta pekerja bukan Islam untuk melakukan tugas memasak selain mengabaikan aspek kebersihan,” katanya.Jurucakap itu berkata, kelulusan memperoleh sijil halal HDC proses penuh teliti berikutan pemeriksaan mengikut prosedur akan dilakukan auditor syariah dan auditor teknikal (teknologi makanan) bagi memastikan premis terbabit benar-benar layak memiliki sijil halal berkenaan.
sumber:
Harian Metro.
Ulasan Penulis:
Di Sandakan sahaja, ada berapa banyak Restoran yang dimiliki oleh bukan Islam termasuklah kedai Cina yang dikunjungi oleh ramai umat Islam. Berhati-hati dengan makanan kita.. bukan BABI ja yang HARAM. Ayam,daging dan lain2 juga boleh jatuh hukum HARAM untuk dimakan apabila kaedah sembelihan tidak menepati syariat Islam.

Wednesday, May 27, 2009

Gerakan Underground

Dewasa ini, gerakan “underground” di kalangan pelajar terutama di bumi Sandakan semakin membimbingkan. Ini kerana, keterlibatan pelajar sekolah dalam kumpulan “underground” semakin menjadi-jadi tanpa mengira agama, bangsa mahupun peringkat umur. Penulis di fahamkan, hampir semua sekolah di kawasan Bandar Sandakan termasuk sekolah elit juga turut terlibat. Kerterlibatan pelajar dalam kumpulan seperti ini sememangnya banyak mengundang masalah malah boleh merosakan akidah pelajar itu sendiri terutamanya bagi pelajar Muslim.

Hasil daripada pemerhatian penulis beberapa kumpulan telah bergiat akitf di kalangan para remaja di Sandakan diantaranya ialah Kappha Rho Kappha (KRO), Hardstlye Republic (HR), Kappha Rho Sigma (KRS), Cewek Pasar Rokers (CPR), Alphachino, Kumpulan Emotional (EMO), Budak Atas Pasar (BPR), King Hard Republic (KHR) dan banyak lagi. Menurut seorang pelajar yang juga ahli kepada kumpulan KHR, kumpulan ini bergiat aktif dengan tarian sappel. Di mana remaja yang berminat dengan tarian ini, boleh menyertai kumpulan tersebut. Antara aktiviti yang mereka sertai termasuklah perjumpaan mingguan bagi semua ahli untuk praktis menari sappel tanpa mengira batas jantina. Malah dari segi pemakaian atau dressing juga mereka adalah berpakaian singkat samaada wanita mahupun lelaki. Namun penulis masih tidak dapat maklumat sepenuhnya terhadap gerakan kumpulan ini dengan lebih lanjut lagi. Namun apa yang pasti kumpulan seperti ini banyak mengundang masalah kepada pelajar.

Masalah sosial yang timbul seperti gejala ponteng sekolah, mereka yang terlibat dengan aktiviti ini sering poteng sekolah, pergaulan bebas, kaki pukul, gejala lepak, zina, dan pelbagai masalah lagi yang timbul. Penulis melahirkan rasa kebimbangan ini kerana tiada pihak yang tampil untuk menagani masalah ini dengan lebih serius termasuklah pihak berkuasa, NGO, badan sukarela mahupun di kalangan guru-guru sekolah. Akhirnya kumpulan seperti ini tumbuh dengan lebih pesat. Bagi diri penulis, kebimbangan ini semakin di risaukan apabila melihat sendiri seorang tua yang di samun oleh sekumpulan pelajar yang dipercayai sekumpulan “underground” sehingga hampir kedua tanggan mangsa terputus akibat di tetak guna parang.

Maka atas kesedaran ini, penulis ingin menyuruh kepada semua pihak agar tampil untuk bersama memainkan peranan masing-masing agar menyantas segala aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral ini untuk kebaikan bersama.

Sekian.