Tidak keterlaluan jika dikatakan tabiat suka berbelanja dimiliki ramai orang. Memang sukar mengikis atau mengawal tabiat buruk ini kecuali dengan satu-satunya alternatif iaitu belajar menabung.
Menabung bukan saja cara mengawal nafsu membeli-belah, tetapi suatu kemestian yang perlu dilaksanakan. Namun, perubahan taraf hidup dan perkembangan cita rasa masyarakat, menabung bukan lagi menjadi amalan.
Tidak dinafikan, amalan menabung bukanlah mudah dilakukan. Ia memerlukan kecekalan hati dan motivasi tinggi selain ilmu betul mengenai kaedah menabung serta kepentingan amalan ini bagi setiap individu.
Seseorang perlu menabung supaya mereka dapat mencapai kebebasan kewangan. Kebebasan kewangan adalah alasan utama menabung atau menyimpan kerana selain barangan dan perkhidmatan, wang juga diperlukan untuk melakukan apa yang dihajati pada bila-bila masa. Selain itu, menabung juga penting sebagai persediaan menghadapi situasi tidak terduga.
Laporan berhubung kesedaran menabung di kalangan rakyat Malaysia yang didapati masih rendah baru-baru ini secara tidak langsung membuktikan yang ramai orang terutama anak muda tidak mengerti kepentingan menabung.
Sehubungan itu, bagi mengetahui mengapa perlunya amalan menabung diterapkan dalam diri dan faedah menyimpan wang, Tanya Pakar mendapatkan pandangan Pensyarah Ekonomi Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Musalmah Abdullah.
Kongsi tip menabung ini...
Apa sebenarnya definisi menabung?
Secara umum, tabungan bermaksud mengasingkan sejumlah wang dan dari segi kewangan. Ia juga bermaksud menyimpan sejumlah wang daripada pendapatan yang diperoleh untuk kegunaan di masa depan ataupun baki pendapatan selepas ditolak dengan perbelanjaan.
Apakah tujuan atau matlamat menabung dan bagaimana ia memberi kebaikan kepada seseorang individu?
Menabung atau menyimpan wang mempunyai pelbagai tujuan - sama ada jangka pendek atau jangka panjang. Ada yang menabung untuk membeli harta yang diimpikan, ada yang menabung untuk berkahwin dan ramai melakukannya untuk bekalan hari tua.
Kebanyakan individu yang bekerja lazimnya memperuntukkan pendapatan untuk ditabung bagi keselesaan hidup selepas bersara.
Bagaimana cara sepatutnya untuk menabung? Adakah ia perlu dilakukan dengan mengasingkan sejumlah wang yang hendak ditabung setiap kali selepas baru menerima gaji atau menyimpan wang lebihan selepas melakukan semua perbelanjaan yang perlu?
Ada banyak cara orang menabung. Selain menabung dengan menyimpan wang di sesetengah tempat kerana belum ada kemudahan bank, antara cara lain yang pernah dipraktikkan masyarakat dulu ialah dengan menyimpan wang dengan cara membeli setem.
Apabila berpeluang menyimpan sedikit wang belanja, mereka biasanya membeli setem dan menyimpannya di dalam album. Selepas beberapa lama setem berkenaan dikumpul, mereka akan menukarkannya untuk mendapatkan wang.
Zaman sekarang, ada banyak pilihan untuk seseorang menyimpan wang. Sama ada dalam akaun simpanan di bank, amanah saham dan sebagainya. Cara menabung yang sebaik-baiknya ialah mengasingkan sebahagian daripada pendapatan selepas menerima gaji.
Kadar yang hendak ditabung mungkin sekitar satu pertiga daripada jumlah pendapatan. Mengasingkan lebih awal jumlah wang yang hendak ditabung adalah lebih digalakkan kerana ia lebih terjamin daripada menunggu untuk menyimpannya sebaik menunggu gaji baru.
Dalam tempoh menunggu itu, kemungkinan wang yang ada dibelanjakan adalah besar. Untuk lebih mudah dan lebih terjamin, cara pemotongan gaji bulanan juga dilihat sebagai kaedah berkesan.
Antara kaedah automatik seperti pemotongan gaji dan kaedah manual seperti penyimpanan sendiri (di mana-mana tempat strategik), mana satu yang lebih dianggap sebagai tabungan berkesan?
Ia bergantung kepada individu. Paling utama ialah kesedaran individu itu sendiri. Kesedaran untuk menabung di kalangan generasi masa kini boleh dikatakan agak kurang berbanding generasi dulu. Mungkin disebabkan perbezaan taraf ekonomi antara kedua-dua zaman ini.
Orang dulu lebih cenderung menabung kerana mereka merasai sendiri bagaimana sukarnya mendapatkan wang. Berbeza dengan situasi sekarang di mana taraf kehidupan adalah lebih baik dan ramai yang sudah biasa hidup senang. Jadi mereka tidak begitu sedar mengenai kepentingan menabung.
Ada di antara kita yang lebih berdisiplin dengan kaedah menabung manual kerana mereka tidak yakin untuk membuat potongan gaji. Ini kerana mereka tidak dapat menganggar berapa banyak wang yang dapat disimpan untuk sesuatu bulan.
Selain itu, cara ini juga dianggap psikologi berkesan bagi sesetengah individu kerana mereka akan lebih terdorong atau bersemangat apabila melihat jumlah wang yang disimpan.
Cara automatik atau forced saving seperti potongan gaji bulanan pula lebih selamat dan sesuai untuk mereka yang sukar mendisiplinkan diri membuat tabungan. Hasil ‘tabungan senyap’ ini biasanya akan menggembirakan seseorang selepas suatu tempoh yang lama.
Benarkah menabung banyak bersangkut-paut dengan sikap berjimat? Jjusteru untuk menabung, seseorang juga perlu mengamalkan sikap jimat-cermat dalam berbelanja?
Amalan menabung memang berkait rapat dengan amalan berjimat cermat. Wang yang berjaya disimpan hasil daripada perbelanjaan berjimat inilah yang selalunya dijadikan tabungan.
Oleh itu, seseorang haruslah berbelanja dengan berhemah supaya mereka dapat membuat simpanan untuk kepentingan masa depan. Namun, diakui memang sukar untuk berjimat dan menabung dengan adanya pelbagai barangan menarik dan tawaran jualan hebat di sana-sini. Ini ditambah pula dengan kemudahan kredit yang begitu senang untuk diperoleh.
Jadi, cara terbaik adalah dengan mengawal nafsu dan keinginan berbelanja.
Bagaimana jika jumlah pendapatan seseorang ‘cukup-cukup’ saja dan mereka tidak mampu untuk menabung?
Mempunyai pendapatan yang disifatkan sebagai ‘cukup-cukup’ tidak sepatutnya menjadi alasan untuk seseorang mengelak daripada menabung. Jika mereka merasakan pendapatan hanya ‘cukup-cukup’ untuk menampung kos sara hidup dan keperluan asas, mereka sepatutnya mencari jalan menambah pendapatan untuk dijadikan tabungan.
Banyak perkara boleh dilakukan bagi menjana pendapatan sampingan. Umpamanya melakukan sesuatu yang kita mahir dan minat. Kemudahan internet juga boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan sampingan.
Adakah menabung perlu dilakukan secara sistematik? Maksudnya, jumlah yang sama perlu disimpan setiap bulan atau ia bergantung kepada jumlah pendapatan bulanan yang diterima? Jika pendapatan bagi bulan tertentu lebih tinggi apakah jumlah tabungan perlu ditambah?
Seseorang perlu ada suatu kadar peratusan yang tetap untuk disimpan setiap bulan. Mereka perlu mendisiplinkan diri untuk memenuhi kadar yang sudah ditetapkan untuk disimpan.
Tetapi apabila mereka menerima lebihan pendapatan untuk sesuatu bulan, jumlah yang perlu ditabungkan juga sepatutnya ditingkatkan.
Adakah pelaburan jangka panjang seperti saham amanah adalah cara menabung yang lebih menguntungkan?
Pelaburan seperti saham amanah sememangnya suatu jenis tabungan yang menguntungkan dan disyorkan. Ini kerana ia berisiko rendah dan sesuai bagi mereka yang mahukan hasil dalam jangka masa panjang.
Pelaburan begini lebih menguntungkan jika dimulakan dari usia muda. Selain saham amanah, menyimpan dan melabur menerusi koperasi juga menjadi alternatif baik. Ini keran sambil menyimpan, seseorang dapat menikmati faedah lain yang disediakan untuk ahli koperasi.
Andai seseorang individu mempunyai minat serta bersungguh-sungguh menabung, mereka boleh mencari maklumat bagaimana membahagi-bahagikan wang mereka untuk disimpan dan dilaburkan dalam beberapa skim simpanan dan pelaburan.
Tetapi harus dipastikan juga skim simpanan atau pelaburan itu sah di sisi undang-undang dan selamat.
Dalam situasi ekonomi yang agak suram sekarang, bagaimana dengan rutin menabung seseorang? Wajarkah jumlah tabungan dikurangkan atau adakah ini masa yang sesuai untuk menggunakan tabungan yang ada jika perlu?
Kegawatan ekonomi tidak terlalu menjejaskan jika seseorang tidak kehilangan pekerjaan tetap. Bagi mereka yang tidak menghadapi masalah terjejasnya kewangan, lebih baik dikekalkan saja tabungan wang seperti biasa.
Tetapi, bagi mereka yang dibuang kerja atau dipotong gaji akibat kegawatan ekonomi, inilah waktunya tabungan yang dibuat selama ini boleh dimanfaatkan. Tabungan itu boleh dijadikan modal berniaga atau sebagainya sebelum mendapat kerja baru.
No comments:
Post a Comment